Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama anak-anak kapal British Airways pada Majis Sambutan Pesawat British Airways Boeing 787-900 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. Foto Bernama

Malaysia usaha perluas ketersambungan udara ke Eropah, Amerika – Loke

ByBernama

SEPANG, 2 April: Malaysia sedang berusaha ke arah memperluas ketersambungan penerbangan ke Eropah dan Amerika, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kerajaan sedang menarik lebih banyak syarikat dari Eropah untuk menyediakan penerbangan terus ke Malaysia serta menggalakkan syarikat tempatan mewujudkan laluan.

“Ketersambungan sudah semestinya penting untuk negara bagi perdagangan, perniagaan dan terutamanya untuk pelancongan.

“Jika kita tiada penerbangan terus, ia akan jadi tidak menarik untuk pelancong datang ke negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menyambut penerbangan pertama British Airways selepas menyambung semula penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Penerbangan itu menandakan kepulangan British Airways ke Malaysia selepas lima tahun menghentikan laluan itu ketika pandemik COVID-19.

Loke dalam ucapan sebelum itu berkata kembalinya syarikat penerbangan berpangkalan di United Kingdom (UK) itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini.

“Industri penerbangan Malaysia menunjukkan pemulihan dan daya tahan yang kuat, dengan trafik penumpang dijangka melebihi 100 juta pada 2025.

“Kehadiran British Airways di KLIA bukan sahaja memudahkan lebih banyak perjalanan antara Eropah dan Malaysia tetapi juga meningkatkan daya tarikan kita sebagai pusat transit bagi pengembara menuju ke destinasi ASEAN yang lain,” katanya.

Loke berkata selain pelancongan, laluan itu juga menawarkan peluang lebih besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan UK.

“Kerajaan kommited untuk memastikan lapangan terbang kita kekal berdaya saing, efisien dan bersedia untuk masa depan. Itulah sebabnya kami memodenkan KLIA dan lapangan terbang utama yang lain bagi meningkatkan keberkesanan, ketersambungan dan kemampanan.

“Usaha ini selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, yang mengutamakan sistem pengangkutan bersepadu, mudah diakses dan berdaya tahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan