KUCHING, 2 April: Lebih 1,000 tetamu menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2025, anjuran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidi di Hotel Waterfront Kuching, hari ini.
Majlis yang berlangsung dari 11 pagi hingga 4 petang itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat termasuk rakan taulan, ahli keluarga serta penduduk sekitar Kuching yang hadir untuk bersama-sama meraikan Syawal dalam suasana penuh kemesraan dan keharmonian.
Seawal pagi jam 10.30 pagi, tetamu mula membanjiri ruang dewan dengan penuh keterujaan, mengenakan busana raya yang berwarna-warni serta anggun, mencerminkan kemeriahan dan semangat Aidilfitri.
Tidak hanya sekadar rumah terbuka, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian yang menghiburkan tetamu dengan alunan lagu-lagu raya klasik dan moden.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), Datuk Seri Rohani Abdul Karim.- TVS