Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri berkata Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) turut disediakan bagi membantu mangsa yang mengalami trauma dan tekanan emosi akibat tragedi berkenaan.

Kebakaran saluran paip gas Putra Heights: KPWKM teliti semula bantuan untuk mangsa

ByRegina Lee

KUCHING, 2 April: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula bentuk bantuan yang disalurkan kepada mangsa terjejas kebakaran saluran gas di Putra Heights semalam, yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di masjid Putra Heights.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata meskipun sumbangan orang ramai amat dihargai, lebihan barangan seperti makanan dan keperluan asas lain telah menyebabkan masalah penyimpanan.

“Banyak sumbangan yang diterima dalam bentuk barang seperti makanan, lampin bayi, dan sebagainya. Tetapi, ia akan menimbun dekat situ (masjid).

“Mereka (mangsa) tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk kesemua barangan tersebut, jadi saya nasihatkan semua untuk tunggu dulu dan tangguhkan pemberian barang-barang yang dilihat membebankan mereka.

“Sebab itu kita akan berbincang lanjut apa yang kita boleh lakukan, di mana kita membantu juga dari segi bantuan dalam bentuk kewangan untuk menampung keperluan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Pusat Konvensyen CIDB, Petra Jaya hari ini.

Beliau dalam kesempatan itu turut merakamkan penghargaan kepada semua organisasi, yayasan, persatuan dan individu yang telah tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Pada masa sama, Nancy memberitahu KPWKM turut menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi membantu mangsa yang mengalami trauma dan tekanan emosi akibat tragedi tersebut.

Ujar Nancy, kaunselor dari PSSS akan berada di lokasi bagi memberikan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan.

“Mereka perlukan bercakap dengan seseorang mengenai apa yang mereka rasa. Mungkin ada yang berasa murung dalam keadaan ini, maklumlah ia berlaku pada Hari Raya kedua.

“Memang kita bersimpati atas apa yang berlaku, dan ini memberi kita satu pelajaran dari segi bagaimana kita melalui krisis ini,” katanya lagi.

Menjelas lanjut, beliau mendedahkan sebanyak 109 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada 484 mangsa terjejas setakat ini.

Ia melibatkan 16 warga emas lelaki; 18 warga emas perempuan ; 149 orang dewasa lelaki; 141 orang dewasa wanita; 68 kanak-kanak lelaki; 67 kanak-kanak perempuan, lima bayi lelaki; 16 bayi perempuan dan empat Orang Kelainan Upaya (OKU).

Jelas Nancy, mangsa yang cedera tidak ditempatkan di PPS tersebut tetapi dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan