Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setakat 10.35 pagi, kira-kira 25 mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor pagi ini menerima rawatan awal di sebuah kuil berhampiran lokasi kejadian. Foto Media sosial

Kebakaran saluran paip gas: 20 agensi mula siasatan pagi ini

ByBernama

SUBANG JAYA, 2 April: Sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pagi ini.

Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan terlibat.

Ketua Polis Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata setakat ini, Jalan Persiaran Harmoni ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan namun akan dibuka, juga secara berperingkat, kepada penduduk yang terjejas.

“Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi terlibat bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan yang perlu dilakukan di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian di sini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata pihaknya memulakan beberapa gerak kerja utama termasuk penaksiran kerugian ke atas rumah dan kenderaan yang terjejas susulan insiden letupan paip gas itu.

Beliau berkata satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti insiden kebakaran.

“Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung pendawaian elektrik khususnya pada yang terdedah… kita akan melihat sama ada pendawaian itu selamat atau perlu tindakan lanjut bagi membolehkan kita buat penyambungan segera di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nor Hisham pasukan bomba juga memberi perhatian terhadap struktur rumah yang terbakar atau terkena impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Daripada segi keselamatan juga, kita akan mula melihat kepada struktur rumah yang terbakar dan yang terkena letusan itu. Kalau yang tak selamat ataupun membahayakan, mungkin kita buat kerja-kerja meruntuhkan, contohnya struktur seperti bumbung,” katanya.

Beliau berkata JBPM turut menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat untuk mempercepat proses siasatan selain memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman mereka sepantas mungkin.

Tinjauan Bernama mendapati puluhan penduduk yang terjejas dalam insiden itu sudah berkumpul di lokasi kejadian seawal 7.30 pagi bagi mengetahui perkembangan dan status rumah mereka selain menunggu giliran untuk pulang bagi mendapatkan barang keperluan serta dokumen penting.

Selain itu, Pasukan Unit Anjing Pengesan dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman dilihat masuk ke lokasi kejadian.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata pemeriksaan akan dilakukan oleh agensi yang terbabit hari ini sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam insiden itu dan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Height serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan