KUALA LUMPUR, 2 April: Bersama-sama dengan sanak saudara meraikan hari kemenangan selepas sebulan mendidik diri berpuasa sepanjang Ramadan lazimnya melibatkan “medan selera” di meja makan yang sarat dengan pelbagai hidangan, baik juadah tradisional ataupun moden.
Godaan lemang dengan aroma lemak santan dan rendang yang pekat berempah serta pelbagai lagi juadah, mungkin sukar ditepis.
Justeru, tidak menghairankan jika ramai yang tidak sedar mereka terlebih makan dan seterusnya berisiko mengalami masalah kesihatan seperti penyakit refluks gastroesofagus (GERD), keletihan melampau dan kenaikan berat badan mendadak selepas sebulan beraya.
Lebih membimbangkan, tabiat pemakanan tanpa kawalan ini boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan hipertensi.
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian di Hospital Kuala Lumpur Basmawati Baharom berkata bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan akibat komplikasi pemakanan, meningkat setiap kali musim perayaan sehinggakan ada ketikanya hospital berdepan isu kekurangan katil.
“Makanan itu sendiri tidak bahaya. Yang (menjadi) masalah ialah sikap kita terhadap makanan. Rendang itu boleh (makan) tetapi berapa banyak yang kita nak makan? Itu sebenarnya yang merisaukan… jadi jangan salahkan rendang,” katanya ketika ditemui Bernama.
Berpengalaman selama 32 tahun dalam bidang pemakanan, Basmawati menegaskan bahawa konsep “mindful eating” atau pemakanan secara sedar ialah kunci untuk mengawal pengambilan makanan sepanjang musim perayaan.
“Kita sepatutnya hanya mengisi satu per tiga daripada perut, jangan makan sampai kenyang tersandar. Hanya itu yang kita boleh nasihatkan orang ramai, iaitu makan dalam keadaan kita sedar (jumlah makanan yang diambil),” jelasnya, menambah konsep tersebut menekankan pada pengambilan makanan secara sederhana, banyak sayur-sayuran serta menggantikan minuman dengan air kosong.
Kata beliau, setiap individu perlu memastikan pengambilan kalori mengikut keperluan masing-masing. Secara purata, lelaki dewasa memerlukan sekitar 2,000 kalori sehari, manakala wanita dewasa hanya 1,500 kalori.
“Tujuan ambil makanan adalah untuk digunakan, untuk dibakar (jadikan tenaga). Contohnya karbohidrat, seperti nasi, roti dan mi, setiap satu gram bersamaan empat kalori. Bila kita ambil kalori berlebihan, ia akan disimpan di dalam badan,” katanya, menambah kalori yang disimpan dan tidak digunakan akan menyebabkan obesiti.
Beliau mengambil contoh seketul ketupat mini yang mengandungi sekitar 40 kalori, tidak termasuk rendang daging atau sambal kacang yang biasanya dinikmati bersama-sama dengan juadah itu.
“Oleh itu, jangan salahkan lemang, rendang atau kuih raya. Sebaliknya kita yang perlu mengawal jumlah makanan yang diambil. Gunakan konsep suku-suku separuh dalam pemakanan bagi memastikan keseimbangan nutrien,” katanya.
Berkongsi pendapat, jurulatih kecergasan Kevin Zahri berkata kawalan pemakanan selepas Ramadan ialah soal disiplin dan kesedaran diri.
“Jika seseorang itu dapat mengawal kesihatan dan mengambil pemakanan secara ‘bermaruah’ setelah sebulan melalui bulan Ramadan, ia tidak menjadi masalah.
“Kalau ada lima rumah terbuka satu hari pun tidak ada masalah jika beringat. Kena tanya diri, hidangan mana mengandungi banyak protein atau serat, kerana serat dan protein mengenyangkan,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kecergasan.
Beliau turut menyarankan agar masyarakat lebih aktif semasa musim perayaan dengan melakukan banyak pergerakan waima sekadar mengemas rumah ataupun memasak.
“Ini bukan soal senaman semata-mata tetapi soal membakar kalori. Semakin banyak kita bergerak, semakin banyak kalori dibakar. Janganlah kita makan segala macam tapi tidak mahu beraktiviti dan mengharapkan kesihatan yang baik,” katanya. -TVS