KUCHING, 2 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memulakan kunjungan ke rumah terbuka Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pagi tadi sempena Syawal ketiga hari ini.
Ketibaan beliau di CIDB Convention Centre, Petra Jaya pada 10 pagi itu turut diiringi isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Terdahulu, rumah terbuka Fadillah itu turut dimeriahkan dengan kunjungan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Antara tetamu-tetamu kehormat yang turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Usai majlis itu, Abang Johari kemudiannya mengunjungi rumah terbuka Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di kediamannya pada jam 10.45 pagi.
Beliau serta isteri mengambil kesempatan meluangkan masa bagi mengeratkan silaturrahim selama sejam lebih sebelum berangkat ke rumah terbuka seterusnya.
Seterusnya sekitar jam 12 tengah hari, Abang Johari menghadiri rumah terbuka ketiga, iaitu Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar di Dewan Undangan Sarawak 2025.
Majlis itu menyaksikan kehadiran pengunjung berbilang kaum merangkumi senarai dif-dif kenamaan seperti menteri-menteri Kabinet Sarawak. – TVS