MIRI, 1 April: Tradisi ‘bertuntong’ (nyalaan pelita) di kawasan sekitar Jepak dihidupkan semula sejak tahun lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee salah satu inisiatif untuk menghidupkan semula tradisi tersebut adalah dengan mengadakan pertandingan bertuntong yang menawarkan hadiah lumayan.
Iskandar berkata ia mendapat penyertaan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung berbanding tahun lepas yang hanya mendapat 30 penyertaan.
“Berikutan itu maka tahun ini kita anjur semula. Alhamdulillah sambutan agak luar biasa. Yang mana penyertaan melibatkan JKK kampung-kampung yang terlibat seramai tujuh buah kampung. Dan individu dua orang itu bagi pertandingan pintu gerbang. Manakala untuk individu penyertaan seramai 77 orang. Di sini menunjukkan respon yang amat positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Katanya lagi, selain untuk menghidupkan semula tradisi ini, tujuan pertandingan ini diadakan juga untuk mengajak anak-anak Jepak yang merantau pulang ke kampung halaman di hari raya.
Pertandingan ini juga dilihat dapat menarik minat orang luar untuk berkunjung ke DUN Jepak.
“Dan selain daripada itu ia untuk menarik, melambailah yang perantau-perantau terutamanya anak anak di Jepak ini untuk kembali, untuk melihat kemeriahan hari raya di kampung masing-masing.
“Di sini saya melihat impaknya amat luar biasa dan Jepak telah dikenali, viral sejak tahun lepas berkenaan bertuntong dan tahun ini jugak viral dan secara tak langsungnya pertandingan bertuntong ini saya melihat mampu memupukkan semangat apa orang cakap, ukhwah di kalangan JKK dengan komuniti yang mana kita melihat sekarang bukan setakat gerbang atau rumah malah lorong-lorong pun dipenuhi dengan cahaya,” ujarnya lagi.
Berkongsi pengalaman beliau sendiri mengenai bertuntong, zaman dahulu dan sekarang diakuinua berbeza kerana dahulu pelita minyak lebih banyak digunakan.
Pada masa kini, penduduk sudah mula menggunakan lampu warna-warni yang dihidupkan dengan tenaga solar.
“Jadi wawasan oleh YAB Premier mengenai green energy apa semua nampaknya bukan sahaja dalam elemen organisasi yang besar tetapi di kampung pun dah menggunakan kaedah green energy iaitu mereka menggunakan apa tu lampu lampu hari raya ini yang menggunakan solar. Jadi inilah secara tak langsung menjimatkan kos bagi yang menyertai pertandingan dengan bertuntong di DUN Jepak,” katanya.
Pertandingan bertuntong DUN Jepak dibahagikan kepada dua kategori iaitu bertuntong KMKK dan bertuntong individu.
Bagi kategori KMKK, tempat pertama akan menerima RM5,000 beserta plak, tempat kedua RM2,000 beserta plak dan tempat ketiga RM1,000 beserta plak.
Manakala untuk kategori individu pula, tempat pertama menerima RM1,000 beserta barangan elektrik dan plak, tempat kedua RM800 beserta barangan elektrik dan plak dan tempat ketiga RM300 beserta barangan elektrik dan plak.
Hadiah saguhati turut disediakan untuk setiap peserta. – TVS