KUCHING, 1 April: Tarian singa, sebuah seni budaya tradisional yang berasal dari masyarakat Cina amat sinonim mewarnai perayaan Tahun Baru Cina.
Namun, pada Syawal kali ini ia turut memberi warna baharu dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali gus memperlihatkan keunikan dalam tradisi berbilang budaya.
Keunikan tersebut dirasai keluarga Amalina Ahmad, yang dilahirkan dalam keluarga campuran bangsa Cina dan Melayu dengan mempersembahkan tarian singa semasa rumah terbuka Aidilfitri mereka.
Menurut Amalina, pada rumah terbuka Aidilfitri kali ini merupakan kali kedua buat keluarganya mempersembahkan tarian singa di kediaman mereka.
Seperti tahun sebelumnya, keluarga Amalina turut memberi sentuhan istimewa kepada tetamu sempena sambutan Hari Raya dengan melibatkan elemen budaya Cina dan suasana tradisional Melayu.
“Bagi keluarga kami, ini adalah salah satu tarikan dan keunikan. Setiap tahun, kami ingin menunjukkan budaya seperti ini. Selain itu perayaan Aidilfitri bukan hanya tentang budaya Melayu, tetapi juga tentang menerima pelbagai budaya, termasuk budaya Cina.
“Kalau boleh setiap tahun tradisi ini akan dikekalkan. Ia dibuat setiap tahun. Semasa Hari Lahir ataupun setiap perayaan akan kami bawakan elemen seperti ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri keluarganya di Samariang, Kuching, di sini, hari ini.
Sementara itu, saudara terdekat Amalina, Qurratu’aini, 32, menyatakan bahawa bagi keluarga mereka, tarian singa sudah menjadi sebahagian daripada tradisi sejak dahulu sehingga kini.
“Kami mempunyai pelbagai latar belakang budaya dalam keluarga kami, dan itulah yang menjadikan perayaan ini lebih bermakna.
“Kami dapat menyambut setiap perayaan dengan penuh kegembiraan bersama-sama, tanpa mengira bangsa dan agama. Inilah semangat perpaduan yang seharusnya diteruskan, terutama pada musim perayaan,” ujarnya.
Senada dengan Aini, Hui Lian, 35 yang turut menyatakan kegembiraan dan keterujaan dalam menyambut Hari Raya bersama-sama keluarganya yang berasal dari latar belakang agama dan budaya yang berbeza.
“Kami sangat berbangga kerana keluarga kami mempunyai latar belakang agama yang berbeza. Kami mempunyai ahli keluarga yang berbangsa Cina dan Melayu.
“Semasa Tahun Baru Cina, kakak saya akan meraikan bersama kami. Begitu juga ketika Hari Raya, kami akan meraikan bersama mereka. Kami amat berbesar hati,” jelas Hui Lian.
Sambutan Aidilfitri bersama keluarga yang berlainan latar belakang, agama dan budaya katanya mencerminkan semangat persaudaraan yang kukuh.
“Selain itu, kita dapat melihat bagaimana seni budaya ini menggabungkan elemen-elemen yang sangat penting dalam masyarakat Malaysia, iaitu perpaduan, toleransi dan penerimaan terhadap kepelbagaian.
“Ia juga tentang bagaimana masyarakat Malaysia, terutama di Sarawak, terus menghidupkan semangat perpaduan antara pelbagai kaum dan agama,” ujarnya lagi. -TVS