KUCHING, 1 Apr: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sejumlah RM150 juta bagi menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Bahagian Samarahan yang melibatkan kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Sebangan, Simunjan dan Gedong.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peruntukan tersebut termasuk dengan pembinaan pencawang elektrik di Gedong.
“Sekurang-kurangnya dua lagi pencawang elektrik akan dibina di bawah peruntukan RM150 juta. Antara kawasan yang terlibat adalah Gedong dan Sebuyau. Untuk Sebuyau, perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak Sarawak Energy. Dan sudah tentu ia memakan perbelanjaan lebih dari RM150 juta.
“Ini kerana untuk membina pencawang elektrik berkeluasan 33KV menelan kos sekurang-kurangnya RM25 juta dan akan ditanggung oleh Sarawak Energy Berhad (SEB),” katanya ketika ditemui pemberita semasa hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurut Julaihi, bagi bahagian Samarahan, peruntukan sebanyak Rm450 juta adalah bagi menaik taraf di kawasan Lundu dan Betong.
“Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan di bahagian Betong misalnya Meludam, Pusa, Beladin, Saratok, Kabong dan sepanjang Sarikei bagi menaik taraf infrastruktur elektrik sekali gus memastikan bahawa bekalan elektrik adalah lebih stabil.
“Bagi kawasan Lubok Antu, Sungai Asap dan Lawas juga termasuk dalam peruntukan RM150 juta tersebut,” ujarnya.
Pencawang elektrik yang sudah siap di Asajaya itu kata Julaihi, dihubungkan melalui sistem HDD atau kabel bawah tanah bagi meningkatkan bekalan elektrik yang lebih stabil.
“Kita harap dengan pelaksanaan sebegini, masalah bekalan elektrik akan dapat diatasi.
“Tetapi, jika ada berlakunya kejadian alam semulajadi seperti ribut, itu kita tidak dapat elakkan,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, projek ini dijangka bermula suku kedua tahun ini, dengan penggunaan teknologi Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) bagi menggantikan talian pengagihan terbuka sedia ada. – TVS