SUBANG, 1 April: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang rosak sepenuhnya akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Height, Selangor pada Isnin.
Menurut Perdana Menteri lebih 100 pemilik rumah yang kediaman mereka rosak sebahagiannya pula akan diberi bantuan RM2,500 untuk membantu perbelanjaan semasa.
Jelas Anwar, pemberian itu merupakan langkah bagi memastikan mangsa boleh mengambil tindakan seterusnya untuk pulih akibat kejadian.
“Kerajaan Persekutuan juga akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memulihkan kawasan ini dengan kerjasama kerajaan negeri dan Petroliam National Berhad (PETRONAS) namun kita berharap penduduk (mangsa) bersabar kerana proses ini akan masa lebih kurang setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan kejadian di Taman Putra Harmoni di sini hari ini.
Turut mengiringi Anwar, Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khan Mydin Pitchay dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Kebakaran yang menyaksikan api menjulang tinggi ke udara itu dilaporkan berlaku kira – kira pukul 8.12 pagi tadi.
Setakat ini polis mengesahkan 112 orang mengalami kecederaan dengan sebahagian besar dirawat di Hospital Serdang manakala mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Putrajaya dan Hospital Cyberjaya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pula memaklumkan sebanyak 190 unit rumah, 148 unit kereta dan 11 motosikal dikenal pasti mengalami kerosakan yang pelbagai akibat kebakaran dan haba panas.
Sementara itu Anwar menambah kerajaan akan menggerakkan seluruh jentera untuk menyegerakan proses pemulihan perumahan.
“Tindakan terperinci akan diambil oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sementara rangka, strategi dan kaedah pemulihan sedang dibincang bersama kerajaan negeri dan PETRONAS,” katanya.
Tambah beliau, keutamaan operasi hari ini adalah keselamatan dan merendahkan tekanan yang dialami oleh penduduk-penduduk yang terkesan. – TVS