Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Amirudin turun padang meninjau operasi memadam kebakaran di Putra Height di sini hari ini. Foto, Amiruddin Shah (TVS).

Laporan awal kebakaran besar dijangka siap 72 jam

ByYusuf Shukri

SUBANG, 1 April: Laporan awal insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini dijangka siap dalam tempoh 72 jam.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca insiden itu.

Amirudin turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu pihak berkuasa.

“Kita akan melakukan siasatan menyeluruh untuk mengetahui punca berlakunya insiden ini. Ada pelbagai maklumat yang disebarkan di media sosial yang perlukan pengesahan.

“Harap polis akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk kita mendapat petunjuk punca berlakunya insiden ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian selepas mengiringi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lokasi kejadian.

Kebakaran yang menyaksikan api menjulang tinggi ke udara itu dilaporkan berlaku kira – kira pukul 8.12 pagi tadi.

Setakat ini polis mengesahkan 112 orang mengalami kecederaan dengan sebahagian besar dirawat di Hospital Serdang manakala mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Putrajaya dan Hospital Cyberjaya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pula memaklumkan sebanyak 190 unit rumah, 148 unit kereta dan 11 motosikal dikenal pasti mengalami kerosakan yang pelbagai akibat kebakaran dan haba panas.

Sementara itu Amirudin berkata, langkah berjaga-jaga harus diambil sebelum penduduk dibenarkan untuk kembali ke rumah masing-masing untuk mengambil barang.

Jelasnya beliau tempoh sekurang-kurangnya 48 jam diperlukan untuk pihak berkuasa memastikan keadaan kawasan sekitar selamat.

“Kenyataan daripada pihak bomba ialah walaupun sesetengah rumah itu nampak tidak rosak, tetapi pendawaian elektrik rumah mungkin terganggu.

“Jika suis dihidupkan, kita khuatir ia akan menyebabkan kebakaran sekali lagi,” katanya.

Beliau pada masa sama turut memberi jaminan kepada penduduk perumahan bahawa keselamatan barangan serta rumah mereka akan dikawal dengan teliti.

“Polis akan melakukan rondaan bagi mengelakkan kawasan tersebut diceroboh dan mungkin boleh menjadi punca kebakaran yang mahu dielakkan.

“Buat sementara ini, mereka akan duduk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah diaktifkan kerana kita hendak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara terperinci punca kebakaran tersebut,” tambah beliau. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan