KUCHING, 1 April: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menjelaskan bahawa perkhidmatan bas percuma yang disediakan oleh kerajaan negeri akan berpusat di sekitar kawasan tarikan pelancongan utama, khususnya di bandar raya Kuching.
Menurut beliau, program bas percuma ini bertujuan untuk memudahkan pengangkutan pelancong ke tempat-tempat menarik seperti Semenggok, yang terkenal dengan kehadiran orang utan, serta destinasi pelancongan lain yang telah dikenal pasti.
“Bas-bas yang kita aturkan adalah untuk pergi ke tempat-tempat tertentu yang kita rasakan sebagai kawasan tarikan pelancongan. Sebagai contoh, Semenggoh dan tempat-tempat lain di bandar raya besar seperti Kuching,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media susulan kunjungan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke rumah kediamannya sempena Hari Raya Aidilfitri pada Selasa.
Namun, Abdul Karim turut menyatakan bahawa permintaan untuk perkhidmatan bas percuma di kawasan luar bandar turut dipertimbangkan.
Beliau mengakui bahawa ada permintaan untuk kemudahan ini di kawasan-kawasan yang lebih kecil, tetapi menambah bahawa keperluan tersebut perlu dilihat dari segi kadar penggunaan dan kelayakan kewangan.
“Kerisauan kita adalah, jika kita letakkan bas percuma ke kampung-kampung kecil, penggunaannya mungkin tidak begitu ramai, yang akan menyebabkan kerugian,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, Abdul Karim memberi jaminan bahawa jika sesebuah kawasan berkembang pesat dan memerlukan pengangkutan awam, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan bas yang bersesuaian.
Beliau memberi contoh pembangunan pesat di Tasik Biru yang mungkin memerlukan perkhidmatan bas pada masa hadapan, dan kemungkinan juga untuk kawasan seperti Borneo Highlands.
“Kalau ada peningkatan jumlah pengunjung, kita akan aturkan perjalanan bas untuk memudahkan orang ramai pergi ke tempat-tempat itu,” tambahnya lagi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma ke lokasi-lokasi lain yang menerima peningkatan jumlah pengunjung, seperti tapak warisan dunia di Niah, sekiranya ia memenuhi kriteria tertentu.
“Sekiranya kemudahan di Niah sudah baik dan pengunjung meningkat, kita akan pertimbangkan untuk menyediakan bas dari Miri ke Niah,” katanya lagi. – TVS