KUCHING, 1 Apr: Gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini di Samarahan dilaporkan berpunca akibat kejadian ribut di Bahagian berkenaan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Sehubungan itu menurutnya, pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) bekerjasama dengan Lembaga Air Kuching (LAK) menyelesaikan masalah bekalan air terbabit dalam tempoh masa 45 minit pada hari kejadian.
“Malam itu ribut dan kilat semua sekali dan gangguan itu berlaku bukan hanya di Kuching tetapi juga Samarahan dan juga Sebuyau mengalami masalah tekanan air.
“Selepas 45 minit kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan oleh SEB dan LAK, loji rawatan air Batu Kitang dapat berfungsi semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Jelas Julaihi, kejadian yang berlaku itu adalah di luar kendalian pihak SEB dan LAK kerana itu melibatkan kejadian alam semula jadi. – TVS