LIMBANG, 1 Apr: Limbang memerlukan bangunan pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baharu bagi memenuhi keperluan dan penambahbaikan perkhidmatan jabatan itu sejajar kedudukannya sebagai pintu masuk utama pengunjung luar ke Bahagian ini.
Hasrat itu diluahkan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memandangkan kedudukan bangunan pejabat JIM Bahagian Limbang di bangunan kedai sejak lebih 10 tahun tidak strategik, selain terdapat masalah parkir dan kekurangan kemudahan lain.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata terdapat aduan daripada penduduk dan pengunjung luar yang berdepan isu kekurangan parkir dan ruangan pasport terhad menyebabkan masalah kesesakan berlaku ketika memperbaharui pasport mereka.
“Kedatangan pengunjung ke Limbang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Oleh yang demikian kita memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan Kastam dan Imigresen untuk keperluan penduduk Limbang dan juga rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei yang memerlukan urusan imigresen khususnya untuk memperbaharui atau memohon passport.
“Sekarang ini keadaan di Pejabat Imigresen sudah agak sesak,seperti yang dilaporkan,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Rumah Terbukanya di Kampung Nauran hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.
Dr Abdul Rahman juga menjelaskan ketika ini jumlah kemasukkan pengunjung luar terutama dari negara jiran Brunei semakin meningkat setiap tahun.
Oleh itu katanya Limbang amat memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan Kastam dan Imigresen yang melibatkan keperluan rakyat Malaysia selain membabitkan rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei yang memerlukan urusan imigresen khususnya untuk memperbaharui atau memohon passport.
Selain isu parkir, bangunan JIM Bahagian Limbang ketika ini berdepan keadaan ruangan membuat pasport yang agak sempit dan hanya mempunyai satu pintu utama dan tiada tingkap yang boleh mengundang bahaya terutama ketika berdepan kes kecemasan. -TVS.