SUBANG, 1 April: Polis mengesahkan tiada kematian dalam kejadian kebakaran besar berpunca kebocoran paip gas bawah tanah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights di sini pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 12 daripada 100 orang mangsa yang cedera sedang dirawat di zon merah di hospital.
Katanya seramai 50 lagi dirawat zon kuning manakala 38 di zon hijau.
“Seramai 33 mangsa telah dibenarkan keluar hospital kerana sudah pulih sepenuhnya.
“Mereka dirawat di beberapa hospital di Serdang, Putrajaya, Hospital Cyberjaya, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan juga beberapa hospital swasta,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian lewat petang tadi.
Sementara itu beliau turut memaklumkan seramai 364 orang daripada 74 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementera (PPS) yang telah diaktifkan iaitu di Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) Camelia.
“Sebanyak 235 rumah di kawasan perumahan telah terkena tempias api yang marak sehingga mencecah ketinggian 800 meter.
“87 rumah telah rosak sepenuhnya, manakala 148 unit mengalami kerosakan separa,” katanya.
Statistik terkini juga jelas beliau mendapati 225 buah kenderaan terbakar manakala 174 buah lagi dipercayai mengalami kerosakan kecil.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor juga katanya masih bersiap sedia di tempat kejadian bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk kebakaran semula.
“Polis juga akan menjaga keselamatan keseluruhan kawasan terutamanya dalam menjaga harta benda, rumah dan kenderaan penduduk di kawasan ini,” katanya. – TVS.