RIO DE JANEIRO, 1 April: Sekurang-kurangnya 11 orang daripada sebuah keluarga yang sama maut, manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya lewat Ahad di negeri Bahia, timur laut Brazil, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di perbandaran Ruy Barbosa apabila sebuah van yang membawa 16 ahli keluarga bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan atas sebab yang belum diketahui.
Datuk Bandar Ruy Barbosa Ney Dias, dalam satu temu bual radio berkata mangsa yang terkorban terdiri daripada tiga kanak-kanak dan lapan orang dewasa.
Keluarga itu dalam perjalanan pulang dari bandar Boa Vista do Tupim selepas menghabiskan hujung minggu di sana. -TVS