JULAU, 31 Mac: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika memeriksa pukat di Sungai Kanowit hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, mangsa yang dikenali sebagai Chong Yik Teck, 73, dipercayai keluar dari rumah Sabtu lalu untuk memeriksa pukat yang dipasangnya malam sebelumnya.
Menurutnya, selepas tidak pulang
selepas beberapa jam, ahli keluarganya mula bimbang dan keluar mencari mangsa.
“Mangsa akhirnya berjaya dijumpai di tebingan sungai oleh penduduk kampung kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi terakhirnya.
“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis sebagai tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi TVS.
Mahmudin berkata, operasi SAR hari ketiga diperluaskan hingga radius lima kilometer dari lokasi kejadian.
Sepanjang operasi katanya, bomba mendapat kerjasama baik penduduk kampung, pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan pihak bomba juga menzahirkan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa dan berharap mereka tabah dengan dugaan yang menimpa,” ujarnya.-TVS