Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Umat Islam di Thailand khususnya Bangkok menyambut Aidilfitri dalam suasana suram ekoran gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada Jumaat lalu, Foto AFP

Umat Islam Bangkok sambut 1 Syawal dalam suasana suram akibat gempa bumi

ByBernama

BANGKOK, 31 Mac: Umat Islam di Thailand khususnya Bangkok menyambut Aidilfitri dalam suasana suram ekoran gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada Jumaat lalu, turut menggegarkan ibu negara Thailand, mengorbankan sekurang-kurangnya 17 nyawa dan puluhan lagi dilaporkan masih hilang.

Komuniti Islam di Bangkok berada dalam keadaan berjaga-jaga dan penuh kebimbangan menghadapi gegaran susulan yang masih dirasai. Ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan Syawal dengan kegembiraan, mereka di Bangkok menyambutnya dengan perasaan yang bercampur-baur, diwarnai ketidakpastian akibat bencana alam ini.

Wakil Sheikhul Islam Thailand, Korsem Mankhong, 71, berkata ramai penduduk di Bangkok masih khuatir dengan kemungkinan gegaran susulan.

“Kami mendoakan agar Allah melindungi semua penduduk,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Masjid Zhohirul Islam Thonglor, Sukhumvit, pada Isnin.

Meskipun hujan lebat turun pada pagi 1 Syawal, ia tidak menghalang umat Islam di Bangkok daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kira-kira 200 jemaah hadir ke Masjid Zhohirul Islam Thonglor, dengan solat dipimpin oleh Imam Ruslan Pontongdee.

Seorang jemaah, Aisha Vasinee Klinnest, 35, berkata dia sering hadir ke masjid itu untuk menunaikan solat Aidilfitri, tetapi ruang yang terhad menyebabkan ramai memilih untuk beribadah di masjid lain.

“Saya amat bersimpati dengan mangsa-mangsa bencana dan sentiasa mendoakan agar penderitaan mereka segera berakhir.

“Islam mengajar kita untuk membantu mereka yang memerlukan. Oleh itu, sebagai umat Islam, kami sentiasa bersedia memberikan bantuan, dan doa kami adalah agar keadaan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dalam perutusannya pada Ahad, mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua umat Islam di dalam dan luar negara.

Beliau berkata bahawa Aidilfitri bukan sahaja menandakan berakhirnya ibadah puasa Ramadan tetapi juga mengingatkan tentang nilai-nilai kebaikan, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat.

Amalan seperti bersedekah, memaafkan, menunjukkan belas kasihan, serta mengikuti ajaran Islam yang penuh kasih sayang akan membawa kehidupan yang lebih bahagia, sejahtera dan ketenangan jiwa, katanya.

Thailand dianggarkan mempunyai kira-kira 10 juta penduduk beragama Islam, yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berbilang budaya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan