KUCHING, 31 Mac: Ketibaan 1 Syawal disambut umat Islam dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di seluruh negara hari ini.
Di Masjid Jamek Kuching di sini, menyaksikan ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari tiba di Masjid Jamek pada pukul 7. 44 pagi diikuti Tun Dr. Wan Junaidi pada pukul 7.52 pagi.
Turut menunaikan solat sunat di Masjid berkenaan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Solat sunat Aidilfitri yang bermula pada pukul dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi yang kemudiannya menyampaikan khutbah khas Aidilfitri bertajuk “Hakikat Kemenangan Aidilfitri”.
Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi akan mengadakan Majlis Rahmah Tahmah Aidilfitri 2025 di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak pada pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Sementara itu, Abang Johari dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada pukul 10 pagi hingga 3 petang pada hari pertama dan pada hari kedua mulai 10 pagi hingga 2 petang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).-TVS