SEBUYAU, 31 Mac: Kenaikan tarif elektrik yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak melibatkan tarif elektrik di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, bekalan elektrik dan air di Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak belum ada perancangan untuk menaikkan kadar tarif sedia ada di Sarawak setakat ini.
“Namun mungkin kita boleh melihat bagaimana mereka mengenakan tarif baharu dan mungkin kita boleh belajar apa yang mereka lakukan tetapi ianya tidak ada kena mengena lah.
“Setakat ini belum ada lagi sebab seperti yang saya katakan tadi, tarif yang diumumkan oleh TNB adalah untuk semenanjung Malaysia sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama penduduk Kampung Sebangan di Sebuyau pada Isnin.
Pada Januari 2025, TNB mengumumkan Kerajaan Sarawak meluluskan kenaikan 14.2 peratus dalam tarif asas bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Walaupun begitu, kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik sebenar untuk industri dan isi rumah bagi separuh pertama 2025 iaitu tiada perubahan pada kadar yang dikenakan.
Manakala semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai 2025. -TVS