MIRI, 31 Mac: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Miri tahun ini semakin meriah dengan kehadiran perantau dari pelbagai tempat yang pulang ke kampung halaman bagi meraikan hari lebaran bersama keluarga tersayang.
Muhammad Raid Farell yang berasal dari Kuching menyatakan terujanya untuk bertemu keluarga di Miri.
“Saya sangat teruja bertemu keluarga dan rakan-rakan. Saya juga tidak sabar untuk menikmati hidangan kegemaran seperti ketupat, nasi lemak, rendang dan kari. Saya juga dapat bertemu dengan nenek yang menetap di Miri,” katanya ketika ditemui TVS di Piasau Jaya, Miri, hari ini.

Bagi Siti Shafiza Bakir yang menetap di Labuan, pulang ke kampung di Sarawak memberikan pengalaman sangat berbeza.
“Di Labuan kami tidak mempunyai keluarga, jadi suasana Hari Raya di sana kurang meriah. Di sini, kemeriahannya lebih terasa dengan suasana kampung yang penuh dengan lampu dan kunjungan keluarga serta jiran tetangga,” ujarnya.

Siti turut berkongsi pengalaman pertama sebaik tiba di kampung iaitu membeli juadah berbuka puasa seperti laksa Sarawak dan mi kolok.
“Makanan pertama yang dicari tentulah laksa Sarawak dan mi kolok. Memang rasa asli yang tiada tandingan,” ujarnya.

Sementara itu, Nabila Zainal yang bekerja di Arab Saudi turut berkongsi keterujaannya untuk pulang ke Miri setelah sekian lama.
“Saya sangat teruja untuk bertemu keluarga, terutama ibu bapa dan adik-beradik. Makanan dicari mestilah mi kolok, mi Jawa, laksa Sarawak dan Sugar Bun,” jelasnya. – TVS