DEBAK, 31 Mac : Penganjuran rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri dilihat mampu memperkukuhkan konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, tradisi rumah terbuka yang dilakukan sejak zaman-berzaman perlu dipertahankan dan ditambahbaik dengan sikap keterbukaan semasa sambutan perayaan lain yang ada di Sarawak selepas ini.
“Alhamdulillah ketika hari raya pertama, macam biasalah rumah terbuka bermula selepas sembahyang hari raya sampai malam dengan tradisi kampung atau pun orang sini (Saribas) Tradisi Ringgo Rayo yang kita teruskan.
“Open house seperti ini sebenarnya dapat memperkukuhkan lagi konsep perpaduan dikalangan masyarakat kita yang pelbagai kaum khususnya di Debak ini dan saya yakin di tempat-tempat lain seluruh Sarawak pun sama.
“Tradisi sejak berzaman ini amat perlu dipertahankan dan ditambahbaik lagi dengan lebih sikap keterbukaan terutamanya di zaman serba moden ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Debak pada Isnin.
Majlis yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan komuniti di DUN Saribas seramai kira-kira 3, 000 orang.
“Saya juga berasa teruja kerana tradisi yang diamalkan sejak zaman-berzaman dikenali sebagai tradisi ringgo terus subur di DUN Saribas pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini,” ujar Razi.-TVS