MIRI, 31 Mac: Dua cedera selepas kereta dinaiki tiba-tiba terbakar selepas melanggar pokok di jalan lampu isyarat SK Merbau, Desa Murni, di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Zainal Abidin Arffin berkata, pemandu lelaki berusia 31 tahun cedera di bahagian dada manakala penumpang seorang wanita berusia 32 tahun patah kaki.
Menurutnya, bomba menerima laporan berhubung kes itu jam 5.33 petang dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona telah terbakar 90 peratus dan kejadian berlaku disebabkan oleh kemalangan kendiri setelah melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
“Anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula pam jentera dan sumber air dari tangki jentera sehingga kebakaran padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi seterusnya dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.-TVS