Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohd Idris (kiri) dan Avlyanie Moidi menyahut cabaran menyertai misi SAR gempa bumi Myanmar pada Aidilfitri tahun ini. Foto, Amiruddin Shah (TVS).

Tidak pulang beraya, terbang ke Myanmar selamatkan mangsa gempa

ByYusuf Shukri

SUBANG, 30 Mac: Tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang merupakan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri tahun ini berikutan terlibat misi kemanusiaan di Myanmar.

Kumpulan itu pagi tadi terbang dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) ke negara bergolak itu yang dilanda gempa bumi kuat pada Jumaat lepas untuk misi mencari dan menyelamat (SAR).

Seorang anggota SMART, Mohd Idris Hassan, 42, berkata, dia menerima panggilan ketika sedang bersiap untuk pulang ke kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan bersama dengan isteri dan empat orang anaknya.

“Tahun ini terpaksa batalkanlah pulang ke kampung sebab tugas. Alhamdulillah keluarga memahami keadaan dan ini demi kepentingan negara.

“Sebelum ini, saya ditugaskan ke Turki ketika gempa bumi di sana (pada 2023) tapi tidak berkesempatan kerana isteri sakit namun kali ini Alhamdulillah, saya berpeluang untuk berkhidmat,” katanya.

Mohd Idris ditemui pemberita di Pangkalan TUDM Subang sebelum berlepas ke Yangon pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kata – kata semangat kepada 50 anggota SMART sebelum mereka berlepas dengan pesawat TUDM.

Pada awal petang Jumaat lepas, gempa dengan magnitud 7.7 menggegarkan utara barat laut Sagaing, Myanmar disusuli gegaran susulan bermagnitud 6.7 beberapa minit kemudian.

Kerajaan junta Myanmar mengesahkan lebih 1,600 terkorban setakat ini dan membenarkan anggota penyelamat asing masuk ke negara itu untuk misi menyelamat.

Gegaran kuat turut dirasai di Bangkok,Thailand yang menyebabkan bangunan dalam pembinaan runtuh menyebabkan 11 terkorban.

Sementara itu Mohd Idris turut berharap agar rakyat Malaysia mendoakan perjalanan pergi dan pulang mereka selamat setelah misi selesai.

Seorang lagi anggota SMART, Nik Mohd Farihan Nik Zawawi berkata, tahun ini bakal beraya di Kota Bharu, Kelantan bersama keluarga sebelum menerima panggilan untuk tugasan SAR.

“Apabila mendapat panggilan operasi ke luar negara, kami siap sedia untuk diatur gerak.

“Memang sedih kerana tidak dapat beraya bersama dengan isteri dan anak-anak di kampung tetapi tanggungjawab terhadap tugas dan negara perlu digalas,” kata beliau.

Nik Mohd Farihan berkata, misi di Myanmar akan menjadi penugasan pertamanya di luar negara sejak menyertai SMART pada 2021.

Salah seorang anggota SMART wanita dalam misi ini, Avlyanie Moidi, 28, berkata, dia juga berasa sedih untuk meninggalkan anaknya namun demi tanggungjawab kepada negara, perasaan itu perlu diketepikan.

Dia yang merupakan pakar ‘cadever’ SAR mempunyai pengalaman selama sembilan tahun.

“Sebagai seorang yang bergelar ibu, sudah semestinya berat hati ini untuk tinggalkan cahaya mata saya yang pertama tetapi ini adalah lumrah kerja saya dan saya perlu bersedia pada setiap masa,” katanya. -tvs.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan