KUCHING, 30 Mac: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam industri minyak dan gas melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (Sarawak Gas Roadmap, SGR) yang dirangka bagi memastikan sumber gas asli negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelan ini bertujuan memperkasa industri hiliran dengan menumpukan kepada empat hab gas utama iaitu Bintulu, Samalaju, Miri, dan Kuching yang bakal mengukuhkan ekosistem pelaburan serta merancakkan industri berkaitan.
“Aktiviti hiliran sudahpun bermula di Tanjong Kidurong Bintulu dengan pembangunan loji methanol pertama kepunyaan Sarawak sendiri dengan kapasti pengeluaran sebanyak 1.8 juta tan metrik setahun.
“Loji yang kedua di Tg. Kidurong akan memproses gas asli kepada ammonia yang merupakan sumber gas hidrogen untuk dieksport ke luar negara khususnya Jepun,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025, hari ini.
Selain memperkasa industri hiliran, Sarawak turut memperkukuh kedudukannya dalam industri minyak dan gas dengan memperoleh lebih banyak manfaat daripada hasil petroleum.
Menurut Abang Johari, Sarawak telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara khususnya melalui hasil minyak dan gas yang menyumbang 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sejak 2019, Sarawak telah mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum yang membolehkan wilayah ini memperoleh hasil yang lebih tinggi berbanding hanya lima peratus royalti sebelum ini.
“Di samping itu, Perjanjian Secara Komersil antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah memberi ruang untuk Sarawak berkongsi keuntungan 50-50 dengan PETRONAS melalui PETRONAS Carigali,” tambahnya.
Dalam perkembangan terbaru, Sarawak juga telah diiktiraf sebagai Agregator Gas Tunggal di wilayah ini selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun perkara ini rumit untuk dipersetujui secara terperinci saya yakin PETRONAS dan Kerajaan Sarawak melalui PETROS mampu menyelesaikannya dengan semangat menang-menang dan pembahagian kekayaan yang saksama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – TVS