KUCHING, 30 Mac: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak bukan sekadar perayaan untuk meraikan kejayaan di bulan Ramadan tetapi juga simbol penyatuan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapan perutusannya berkata, tradisi rumah terbuka yang diamalkan di Sarawak adalah cerminan keharmonian yang unik di negeri ini.
“Amalan ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persahabatan, tetapi juga menyemai semangat toleransi serta kasih sayang antara kaum,” katanya.
Justeru beliau menyeru agar tradisi kunjung mengunjungi dalam masyarakat akan terus dikekalkan sebagai warisan yang menyatukan semua.
Kemeriahan raya di Sarawak katanya sentiasa diraikan dengan semangat perpaduan yang tinggi, di mana rakyat daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama saling mengunjungi serta mengeratkan hubungan silaturahim.
“Manfaatkan kesempatan ini untuk saling bermaafan, mempererat persaudaraan, dan menyemarakkan semangat perpaduan di negeri ini,” ujarnya. – TVS