Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama yang dikecapi di wilayah ini adalah kunci utama kepada kemajuan Sarawak dalam menghadapi era yang penuh cabaran dan pembaharuan. Foto fail Faitullah Morni (TVS)

Perpaduan rakyat tonggak kemajuan Sarawak

KUCHING, 30 Mac: Keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama yang dikecapi di wilayah ini adalah kunci utama kepada kemajuan Sarawak dalam menghadapi era yang penuh cabaran dan pembaharuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, suasana aman dan damai yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini bukan sesuatu yang datang dengan sendiri sebaliknya hasil usaha bersama dalam memupuk toleransi dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Namun, janganlah kita menganggap suasana sebegini boleh datang dengan sendirinya tanpa ada usaha bersama semua rakyat Sarawak untuk mewujudkan keharmonian, toleransi dan sifat hormat-menghormati antara rakyat yang berbilang agama dan bangsa di Bumi Kenyalang ini.

“Sejak dari dahulu lagi rakyat Sarawak yang berbilang keturunan dan agama sudah mengenali erti saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan sentiasa mengelak daripada menyentuh perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan yang sudah sedia terjalin,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025, hari ini.

Menurutnya, rakyat perlu terus berusaha memperkukuh kesefahaman antara satu sama lain termasuk mengelak perbalahan berkaitan agama, bangsa dan isu remeh yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Jikapun terjadi perselisihan pendapat dan pandangan mengenai isu-isu tertentu, kita harus segera menyelesaikannya dengan cara yang tidak akan memudaratkan perpaduan rakyat yang sudah sekian lama kita bina bersama.

“Sempena hari baik, bulan baik ini, saya berdoa agar keharmonian dan perpaduan rakyat Sarawak terus terpelihara kerana ia adalah asas kepada pembangunan negeri yang mampan,” ujarnya.

Beliau berkata, segala tenaga dan usaha harus difokuskan kepada membina Sarawak yang lebih maju dengan pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Mengakhiri perutusannya, Abang Johari bersama isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menjemput semua rakyat Sarawak dan pengunjung ke Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 1 hingga 2 Syawal.

Majlis rumah terbuka itu dijangka bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang pada hari pertama manakala 10 pagi hingga 2 petang pada hari kedua. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan