KUCHING, 30 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pendidikan merupakan senjata ampuh dalam memerangi kemiskinan serta merapatkan jurang ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar di wilayah ini.
Beliau berkata, sejajar dengan usaha tersebut, Kerajaan Sarawak sedang bersiap sedia untuk menyediakan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti milik negeri bermula tahun depan.
“Langkah ini akan memberi peluang kepada semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau kedudukan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dalam bidang terpilih.
“Tanpa inisiatif ini, anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya di luar bandar, mungkin tidak berpeluang menimba ilmu hingga ke peringkat universiti,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025, hari ini.
Menurutnya, inisiatif yang pertama seumpamanya di Malaysia itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar luar bandar mendapat peluang pendidikan setanding dengan rakan mereka di kawasan bandar.
Jumaat lalu, Kabinet Sarawak meluluskan cadangan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dalam mesyuarat kabinet yang diadakan pada 20 Mac lepas.
Pelaksanaan FTES akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak yang bakal atau sedang melanjutkan pengajian di empat universiti milik negeri iaitu Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Universiti Kolej i-CATS Sarawak.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, skim tersebut merangkumi yuran pengajian percuma serta elaun RM15,000 setahun bagi pelajar daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan atau kurang.
Antara program yang diluluskan di bawah FTES termasuk Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan dan Kewangan. – TVS