KUCHING, 30 Mac: Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak jarak 786 kilometer yang disiapkan menelan belanja RM16 bilion diyakini mampu memberikan keselesaan dan kelancaran perjalanan kepada rakyat khususnya semasa musim perayaan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapan perutusan Hari Raya berkata, projek tersebut bukan sahaja memendekkan masa perjalanan tetapi juga membuka peluang ekonomi bagi masyarakat luar bandar.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan projek infrastruktur yang amat signifikan ini,” katanya.
Selain itu katanya, kejayaan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan pendapatan kepada RM14.2 bilion pasa tahun 2024 berbanding RM13.1 bilion pada 2023 membuktikan Sarawak berada pada landasan yang kukuh untuk terus maju.
Dalam pada itu, kata beliau, pelbagai projek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air bersih dan elektrik luar bandar menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
“Bekalan air bersih luar bandar kini telah mencapai 85 peratus dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang 2030.
“Bekalan elektrik luar bandar telah mencapai 98.6 peratus, memberi manfaat kepada penduduk luar bandar,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan terutama ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. – TVS