MIRI, 29 Mac: Gawai Bazaar Miri 2025 menjadi medan terbaik bagi mempromosikan keunikan budaya masyarakat Dayak kepada pengunjung tempatan dan luar negara termasuk dari Brunei, Indonesia dan Singapura.
Acara yang berlangsung sempena perayaan Gawai Dayak itu menampilkan pelbagai juadah tradisional dari suku kaum Orang Ulu, Iban, Kayan, Berawan dan lain-lain sekali gus memperkenalkan warisan kulinari Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, selain makanan tradisional, bazar tersebut menjadi pentas bagi menampilkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, memperlihatkan keunikan tarian dan pakaian tradisional masing-masing.
“Gawai Bazaar Miri bukan sekadar acara perayaan tetapi satu platform penting untuk kita mempamerkan identiti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan tradisi,
“Majlis seperti ini seharusnya menjadi landasan untuk kita memperkenalkan pakaian etnik Sarawak kepada dunia agar lebih dikenali dan dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Gawai Dayak Bazaar 11.0 Miri, di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa bazar tersebut diteruskan pada masa hadapan dengan sokongan penuh daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta badan penganjur lain.
“Tahun ini, penganjuran Gawai Dayak peringkat Miri diketuai oleh Presiden Persatuan Dayak Miri (DAM) dengan penyertaan sebanyak 30 pasukan,” ujarnya.
Penguang turut menyeru masyarakat Dayak di Miri khususnya NGO yang mewakili komuniti Iban yang kini dianggarkan berjumlah lebih 70,000 orang untuk memberi sokongan penuh kepada penganjuran acara kebudayaan seperti Gawai Bazaar Miri. – TVS