KUCHING, 30 Mac: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM450 juta menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diagaihkan kepada lebih 886,288 penerima bagi membantu rakyat khususnya dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, Insentif Elaun Khas Penjawat Awam Sarawak yang diberikan kepada penjawat awam negeri antara RM400 hingga RM700 sebulan bermula Januari 2025 adalah satu inisiatif yang amat bermakna dalam meningkatkan kebajikan rakyat.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapan perutusan Hari Raya beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha gigih beliau dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
“Melalui program penilaian menyeluruh dan pendekatan bersepadu yang lebih produktif, termasuk bantuan bersasar, padanan pekerjaan, latihan kemahiran serta pelbagai inisiatif lain, keadaan sosioekonomi Sarawak dijangka terus bertambah baik, seiring dengan pertumbuhan pendapatan negeri dan perkembangan ekonomi semasa,” katanya. – TVS