KAMPALA, 30 Mac: Jumlah kumulatif kes mpox yang disahkan di Uganda telah mencecah 4,810, dengan 37 kematian dilaporkan sejak wabak itu diisytiharkan di negara Afrika Timur itu lapan bulan lepas, lapor Xinhua yang memetik Kementerian Kesihatan Uganda.
Menurut laporan situasi nasional yang dikeluarkan kementerian pada Sabtu, sebanyak 13 jangkitan baharu dan enam kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.
“Tiada kematian dilaporkan dalam kalangan petugas kesihatan,” menurut kementerian itu, sambil menegaskan peningkatan kes dengan kadar penularan tertinggi dalam kalangan golongan dewasa muda di kawasan bandar.
“Kejadian kes mpox terus meningkat, dengan puncak tertinggi dicatatkan pada Mac 2025. Individu berusia 25 hingga 29 tahun merupakan kumpulan paling terjejas,” menurut laporan itu. “Ini menunjukkan keperluan untuk usaha kesedaran dan vaksinasi yang lebih tertumpu kepada golongan dewasa muda, khususnya di pusat bandar.”
Pada Jumaat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa Uganda mencatatkan jumlah penularan kes mpox dalam komuniti paling tinggi di dunia.
“Negara ini sedang mengalami penularan dalam komuniti, dan jumlah kes mingguan di peringkat nasional semakin meningkat dari semasa ke semasa,” menurut WHO.
Pihak berkuasa kesihatan Uganda telah mempergiat pemantauan, pengurusan kes serta usaha meningkatkan kesedaran awam bagi membendung penularan virus itu.
Mpox, atau dikenali sebagai cacar monyet, adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus monkeypox. Ia merebak melalui sentuhan rapat dan boleh menyebabkan gejala seperti demam, pembengkakan kelenjar limfa, sakit tekak, sakit otot, ruam kulit serta sakit belakang. -TVS