KUCHING, 30 Mac: Pemilik haiwan peliharaan terutama anjing disaran untuk mendapatkan suntikan anti rabies setiap tahun bagi membendung penularan wabak tersebut di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pemilik haiwan terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan suntikan anti rabies dan seterusnya mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
“Kebanyakan kes ini terbukti kerana biasanya apa yang berlaku, apabila digigit anjing bagaimana anda tahu rabies? Mereka menguji orang itu dan juga anjing. Sebenarnya perlu untuk menguji anjing dan melihat otaknya bagi mengetahui punca tersebut.
“Daripada 11 kes yang dikesan baru-baru ini, 50 peratus daripada kes anjing itu merupakan haiwan peliharaan yang tidak diberikan suntikan anti-rabies. Ini bermakna, pemiliknya perlu bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui TVS semasa menghadiri Mesyuarat Tahunan Persatuan Chung Hua Batu Kawa, hari ini.
Kata Dr Sim, Jabatan Veterinar melaksanakan pelbagai program dari satu tempat ke tempat yang lain bagi menggalakkan orang ramai untuk datang membawa haiwan peliharaan mereka bagi mendapatkan suntikan anti-rabies.
“Setiap tahun, anda perlu membawa anjing anda untuk vaksinai dan sepanjang tahun Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah mengiklankan bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang perkara yang perlu diberitahu kepada anda di mana tempat yang mereka pergi untuk vaksinasi.
“Dan, ianya percuma tetapi jika di luar, perkhidmatan vaksinasi ini adalah berbayar,” ujarnya.
Menurutnya, program vaksinasi yang dilaksanakan adalah sebagai usaha untuk memerangi wabak rabies di Sarawak bagi mencapai sasaran sifar rabies menjelang 2030.-TVS