MIRI, 30 Mac: Terminal Bas Miri terus menjadi tumpuan orang ramai terutama bagi mereka yang pulang beraya di Bintulu, Sibu, Kuching dan Sri Aman.
Penolong Penyelia Easybook, Beatrice Audrey berkata, peningkatan jumlah penumpang mula ketara sejak Jumaat lalu dengan perjalanan bas ditambah bagi memastikan semua penumpang dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Sekarang memang ramai orang dari pagi sampai malam. Semua bas penuh, malah ada tambahan bas atas permintaan penumpang, terutama pelajar dan mereka yang mengambil cuti sekolah,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Tambahnya, kebanyakan penumpang lebih memilih untuk membeli tiket di kaunter berbanding secara dalam talian.
“Ada juga tempahan secara dalam talian melalui Easybook, tetapi kami perhatikan kebanyakan penumpang lebih suka beli tiket di kaunter fizikal terutamanya seminggu sebelum perjalanan,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelia Terminal Easybook, Samson Paul berkata, keadaan di terminal masih terkawal dengan pengurusan yang lancar.
“Hari ini lebih tenang kerana kebanyakan orang sudah pulang sejak beberapa hari lalu. Namun, kami telah bersedia lebih awal bagi memastikan perjalanan berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” jelasnya.
Samson turut menggalakkan penumpang untuk menggunakan sistem tempahan dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di kaunter tiket.
“Tempahan dalam talian lebih mudah dan cepat kerana penumpang hanya perlu mengimbas kod QR untuk menaiki bas tanpa perlu beratur panjang,” kata Samson.
Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dilaporkan menempatkan pegawai penyamar sebagai penumpang bas bagi memantau dan mencegah salah laku pemandu pengangkutan awam sepanjang musim perayaan ini.
Pengarahnya, Norizan Jili berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang berlangsung dari 24 Mac hingga 8 April. -TVS