KUCHING, 30 Mac: Pengambilalihan dan pembangunan aset strategik oleh Kerajaan Sarawak dijangka memberi impak besar dalam menarik pelaburan domestik dan antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai kuasa ekonomi di rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan negeri mencapai pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus tahun lalu mencerminkan perancangan ekonomi yang kukuh menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Saya juga amat yakin visi kita untuk menjadikan Sarawak sebuah kuasa ekonomi di negara ini, bahkan di rantau Asia berada pada landasan yang betul dengan pelaburan yang besar dalam aspek infrastruktur, ekonomi digital, innovasi teknologi, ekonomi hijau, pembangunan bakat dan pendidikan, pemerolehan aset besar dan pembangunan aset-aset strategik.
“Pelaburan-pelaburan ini akan memacu ekonomi Sarawak untuk mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025, hari ini.
Beliau menekankan pembangunan infrastruktur yang giat dijalankan termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, daripada 16 jambatan yang sedang dibina, sembilan dijangka siap tahun ini dengan keseluruhan projek bernilai RM5.90 bilion, dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Sebagai langkah memperkukuh ekosistem pelaburan, kerajaan negeri telah mengambil alih beberapa aset strategik antaranya Hidro Bakun, Pelabuhan Bintulu, Affin Bank dan MASWings (kini AirBorneo).
Selain itu, Sarawak akan membangunkan dua aset utama iaitu Pelabuhan Laut Dalam dan Lapangan Terbang Antarabangsa baharu di Tanjung Embang, dengan pelaburan berjumlah RM100 bilion.
“Saya yakin pembangunan kesemua aset ini akan mendatangkan impak yang besar kepada usaha untuk mengwujudkan ‘ecosystem’ yang amat menarik kepada pelaburan dari dalam dan luar negara.
“Perancangan jangka panjang ekonomi Sarawak tidak akan terhenti pada tahun 2030 tetapi akan terus melangkaui 2035 dan seterusnya ke 2050. Saya amat yakin dengan kematangan semua aset besar yang ada sekarang Sarawak akan muncul sebagai kuasa ekonomi di rantau Asia yang akan dikecapi oleh generasi akan datang,” ujarnya. – TVS