SUBANG, 30 Mac: Malaysia menghantar seramai 50 orang pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) ke Myanmar untuk misi menyelamat susulan negara bergolak itu dilanda gempa bumi kuat pada Jumaat lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dijangka akan berada di sana mengikut keperluan, sama ada selama tujuh atau 14 hari.
Ujar beliau, anggota pasukan terdiri Anggota Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang berpengalaman luas dalam misi sedemikian.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kita berasa amat simpati dengan apa yang berlaku di Myanmar (dan) oleh itu, kita mengambil tindakan segera dengan mengatur gerakan pasukan SMART ini.
“Kita mengharapkan bantuan ini akan mempercepatkan kumpulan cari dan menyelamat (SAR) di mana pasukan antarabangsa dari beberapa negara juga telah dihantar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum pasukan itu berlepas Ke Myanmar dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, hari ini.
Ditanya mengenai keperluan penambahan anggota SMART untuk misi berkenaan, Ahmad Zahid berkata ia akan dilakukan mengikut keperluan dan perkara tersebut akan dikoordinasikan oleh Wisma Putra dan NADMA.
Sementara itu beliau memaklumkan tiada pasukan akan diterbangkan ke Thailand berikutan situasi Myanmar lebih memerlukan berbanding Bangkok.
Pada awal petang Jumaat lepas, gempa dengan magnitud 7.7 menggegarkan utara barat laut Sagaing, Myanmar disusuli gegaran susulan bermagnitud 6.7 beberapa minit kemudian.
Kerajaan junta Myanmar mengesahkan lebih 1,600 terkorban setakat ini dan membenarkan anggota penyelamat asing masuk ke negara itu untuk misi menyelamat.
Gegaran kuat turut dirasai di Bangkok,Thailand yang menyebabkan bangunan dalam pembinaan runtuh menyebabkan 11 terkorban. – TVS