KUCHING, 29 Mac: Sarawak terus mengukuhkan usaha menjadi sebuah wilayah mesra warga emas atau negeri menua sejajar dengan peningkatan penduduk berusia.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menyedari cabaran tersebut, pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan warga emas dapat menikmati kehidupan berkualiti, sihat dan bermaruah.
Menurutnya, setakat ini terdapat 12 pusat jagaan warga emas berdaftar di seluruh Sarawak merangkumi pusat jagaan harian dan pusat jagaan penuh yang beroperasi 24 jam.
“Apabila bilangan warga emas semakin bertambah, kita perlu pastikan sistem sokongan tersedia.
“Kajian konsortium melibatkan tiga universiti iaitu Swinburne, Curtin dan UTS yang membantu kita mengenal pasti keperluan ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program kebajikan bersama Persatuan Sarawan Hun Nam Siang Tng, Kuching, pada Sabtu.
Beliau berkata, konsep pusat jagaan warga emas kini lebih holistik apabila menawarkan kemudahan dan perkhidmatan sesuai dengan keperluan semasa warga emas.
Menurutnya, antaranya termasuklah pusat jagaan harian yang membolehkan anak-anak menghantar ibu bapa mereka untuk menjalani aktiviti sosial, terapi, rawatan kesihatan dan pemantauan pemakanan pada waktu siang sebelum dibawa pulang ke rumah.
“Inilah konsep win-win. Anak-anak boleh bekerja dengan tenang kerana ibu bapa mereka berada di pusat yang selamat, aktif dan tidak kesunyian.
“Warga emas juga dapat terus tinggal bersama keluarga pada waktu malam dan hujung minggu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan pusat jagaan seperti Persatuan Sarawak Hun Nam Siang Tng yang menyediakan penjagaan sepenuh masa kepada warga emas tanpa waris.
Menurutnya, aspek kebersihan dan kesihatan di pusat tersebut sangat dititikberatkan sejajar dengan keperluan imuniti golongan berusia.
“Apabila kita masuk ke pusat jagaan ini, kita nampak warga emas yang dijaga dalam keadaan bersih, sihat, tiada bau yang tidak menyenangkan, malah suasana persekitaran yang baik dan ini sangat penting dalam menjaga imuniti warga emas,” jelasnya.
Fatimah berkata, Sarawak juga sedang menambah baik sistem rujukan untuk warga emas yang tidak mempunyai waris atau berhadapan dengan masalah mental agar mereka mendapat jagaan dan rawatan sewajarnya di pusat yang sesuai.
“Fokus utama kita adalah memastikan warga emas hidup dalam suasana yang berkualiti, produktif dan penuh dengan maruah. Kita mahu mereka tua dalam keadaan sihat dan bahagia,” katanya Fatimah. -TVS