Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Semoga kita dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadan yang akan datang dalam keadaan lebih baik. Foto fail Nadim Bokhari (TVS)

‘Sik berasa!’ Ramadan hampir pergi, apakah paling anda rindui?

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 29 Mac: ‘Sik berasa!’, frasa sering diungkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa berucap dan ia kini  tepat untuk menggambarkan betapa cepatnya waktu berlalu menyaksikan Ramadan sudah menghampiri penghujungnya.

Seolah semalam bulan yang penuh keberkatan ini menjengah namun hari ini ia hampir melabuhkan tirainya.

Baharu sahaja kita teruja melafaz niat puasa, membeli beraneka juadah berbuka di bazar Ramadan, iftar atau ‘sungkey’ beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan, pejam celik Aidilfitri semakin hampir. Mungkin juga, entah-entah ada yang tidak sempat pun memenuhi janji untuk ber’sungkey’ bersama kawan-kawan, siapa tahu?

Tetapi mengapa penulis merasakan Ramadan berlalu terlalu pantas? Kemungkinan rutin harian yang sibuk membuatkan kita terkejar-kejar dengan pelbagai urusan, dari pekerjaan hingga penyediaan juadah berbuka. Penulis ingin mengimbas kembali pelbagai acara penting sepanjang Ramadan yang pasti menjadi memori semua ekoran waktu pergi dengan pantas.

Keunikan bazar Ramadan Sarawak

Jangan terkejut kalau anda melihat antara pengunjung paling ramai yang membanjiri bazar Ramadan di Sarawak ialah pengunjung bukan Islam. Ini adalah pemandangan biasa yang dapat kita lihat di Sarawak dengan kehadiran pengunjung pelbagai bangsa dan agama berkunjung secara harmoni untuk sama-sama mendapatkan juadah puasa di bulan Ramadan. Sokongan ini membantu meningkatkan ekonomi peniaga Islam yang berniaga di bazar Ramadan. Bercakap mengenai bazar Ramadan, di kawasan Kuching dan Samarahan sahaja mempunyai 20 bazar Ramadan.

Pengagihan bubur lambuk

Saban tahun Ramadan diwarnai dengan program kemasyarakatan seperti pengagihan bubur lambuk yang menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan. Selain masjid, syarikat-syarikat dan pertubuhan di Sarawak turut mengambil inisiatif mengagihkan bubur lambuk melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), mencerminkan semangat bersedekah yang menjadi amalan sepanjang Ramadan. TVS turut mengambil peluang ini menerusi program ‘Nguar Bubur Lambuk’ anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di mana stesen televisyen itu berganding bahu dengan Big Pharmacy dengan menyumbang tiga periuk bubur lambuk untuk mereka yang berkunjung ke Masjid Jamek Kuching.

Menyantuni golongan memerlukan

Amalan bersedekah di bulan Ramadan juga dipanjangkan dengan menyantuni golongan memerlukan. Program sebegini kebiasaannya dianjurkan bersama majlis berbuka puasa serta solat Maghrib dan tarawih berjemaah. Ketika ini, pemimpin-pemimpin mahupun organisasi akan turun padang bagi menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan berupa duit raya, baju raya dan banyak lagi. Inilah yang diajar dan diamalkan dalam bulan Ramadan. Berseronoklah semua masyarakat tidak kira status mahupun pangkat untuk menyambut Syawal yang mulia.

Iftar perdana

‘Juh Berambeh Sungkei’ adalah antara ungkapan untuk mengajak masyarakat menyertai iftar berjemaah di luar. Program iftar perdana sebegini banyak dianjurkan di pelbagai lokasi terutamanya di bandar-bandar seperti Kuching, Sibu, Miri, tidak kurang juga di Mukah. Ia sudah semestinya bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di mana rakyat pelbagai kaum dan agama berkumpul, membentangkan tikar, menikmati juadah iftar bersama-sama di suatu kawasan yang luas. Suasana harmoni sebegini adalah salah satu perkara yang akan dirindui apabila Ramadan berlalu nanti.

‘Buffet’ Ramadan

Tak cukup dengan aktiviti berbuka puasa di luar, masyarakat di Sarawak turut tidak melepaskan peluang mengikuti ‘trend’ semasa dengan menikmati buffet Ramadan yang disediakan oleh penyedia makanan ini. Ada yang sanggup membayar sehingga RM488 untuk seorang! Makanan yang disediakan pun bermacam-macam sehingga berpinar mata nak pilih apa. Akhirnya selepas berbuka, makanan yang diambil tidak mampu dihabiskan. Berbaloi atau membazir? Tetapi ada juga penyedia makanan buffet yang menjual dengan harga serendah RM20 seorang. Apa pun pilihan anda, sentiasa beringat bahawa pengertian bulan Ramadan adalah mengajar erti kesederhanaan dan kesyukuran.

Malam tujuh ‘likur’

Kini, kita sudah memasuki malam tujuh likur, menandakan hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum Syawal menjelang. Di kampung-kampung sekitar Sarawak, tradisi bertuntung atau mandong kembali menyerikan suasana malam dengan pemasangan pelita dan lampu lip-lap, mencipta panorama yang begitu indah dan nostalgik. Lebih memeriahkan suasana, ada kampung yang menganjurkan pertandingan bagi pintu gerbang dan suasana bertuntung paling menarik pada tiga malam terakhir Ramadan ini. Hadiah yang ditawarkan pun bukan calang-calang besar! Bagi mereka yang sudah dewasa, kenangan bermain bunga api sewaktu kecil paling dirindui di malam 7 likur ini. Tapi begitulah kehidupan. Pejam celik, pantas waktu berlalu.

Muhasabah diri, refleksi rohani

Ketika Ramadan hampir berakhir, ini adalah masa terbaik untuk kita merenung kembali perjalanan sebulan ini. Adakah kita telah menjaga solat dengan lebih khusyuk? Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan zikir? Meningkatkan sedekah dan membantu mereka yang memerlukan? Mengawal emosi dan memperbaiki akhlak? Jika masih ada kekurangan, belum terlambat untuk kita merebut peluang dalam baki Ramadan yang tinggal.

Semoga kita dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadan yang akan datang dalam keadaan lebih baik. Selamat menyambut Syawal dengan penuh keinsafan dan kesyukuran! – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan