Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemilik haiwan peliharaan terutama anjing disaran untuk mendapatkan suntikan anti rabies setiap tahun

Sarawak catat 11 kes rabies baharu pada Mac

KUCHING, 29 Mac: Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak (SVDL) mengesan 11 kes baharu positif rabies bulan ini, dengan beberapa insiden gigitan melibatkan anjing terbiar dan peliharaan yang berkeliaran bebas di daerah Kuching, Padawan dan Bau.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata lokasi terjejas termasuk Kampung Sejijak, Batu Kawa, Kampung Surih Stapok, Kilang MJC Batu Kawa, Jalan Stephen Yong, Jalan Penrissen Padawan, Jalan Sebuku Buso, Pekan Paku Bau, Jalan Bau Lama, Kampung Nyabut Trombol, Taman Hillside Matang dan Taman Desa Sejijak.

“Susulan pengesanan ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mewajibkan semua pemilik haiwan peliharaan dalam radius satu kilometer daripada kawasan yang dijangkiti, untuk segera memberikan vaksin kepada haiwan mereka.

“Orang ramai diingatkan bahawa kegagalan mematuhi keperluan vaksinasi antirabies, satu kesalahan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 (VPHO 1999), yang boleh dikenakan denda sehingga RM2,500,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata bagi membendung penyebaran rabies, DVSS akan mengadakan program vaksinasi rabies percuma, pelesenan anjing dan penanaman mikrocip di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan pada 12 April dan di Balai Raya Desa Wira pada 26 April dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Pemilik haiwan peliharaan juga perlu memohon lesen anjing dan menanam mikrocip pada haiwan mereka melalui majlis tempatan masing-masing.

“Kegagalan mendapatkan lesen, satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018, yang boleh dikenakan denda sehingga RM5,000. Pembuangan haiwan peliharaan juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 73 VPHO 1999, yang membawa denda sehingga RM2,000,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri, jumlah kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak Julai 2017 kekal sebanyak 83 kes, dengan 76 kematian dan tiada kematian dilaporkan setakat tahun ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan