KUALA BALINGIAN, 29 Mac: Penduduk Kuala Balingian bakal menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Kuala Balingian yang baharu.
Memetik laporan Suara Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, masjid tersebut boleh memuatkan sekitar 1,100 jemaah.
“Walaupun ia belum siap sepenuhnya dan tahap kemajuannya masih 90 peratus tetapi akan dibuka terlebih dahulu untuk kegunaan solat sunat Aidilfitri,” katanya.
Menurutnya, pembinaan masjid tersebut diluluskan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada tahun 2021.
Pada masa sama, Yakub menzahirkan kesyukuran kerana masjid tersebut bakal siap tidak lama lagi dan akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitarnya.
Beliau turut berharap masjid tersebut memberi keselesaan untuk penduduk di kawasan tersebut menunaikan ibadah.-TVS