KUCHING, 29 Mac: Keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab agensi penguatkuasa semata-mata namun ia turut bermula dengan diri sendiri.
Memetik laporan Suara Sarawak, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, waspada diri ketika berada di jalan raya adalah penting dalam memupuk budaya pemanduan bertanggungjawab.
“Memandu bukan hanya untuk diri anda tetapi untuk setiap ibu bapa, adik-beradik, insan tersayang dan rakan-rakan yang sedang menanti kepulangan anda.
“Marilah kita meraikannya dengan penuh tanggungjawab, memastikan perjalanan pulang adalah seindah destinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di stesen minyak berhampiran Taman Hui Sing, hari ini.
Wilfred menjelaskan, program anjuran bersama Persatuan Kebajikan Pengguna Sarawak dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat N12 Kota Sentosa bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya semasa musim balik kampung bersempena Aidilfitri.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
Wilfred turut mencadangkan agar orang ramai mengambil langkah berkongsi tugas memandu untuk mengelak keletihan yang boleh menyebabkan kemalangan.-TVS