Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kenderaan mula bergerak perlahan di pangkalan feri Batang Paloh. Foto TVS

Empat jam tunggu feri

SIBU, 29 Mac: Pangkalan feri Batang Paloh mengalami kesesakan luar biasa selepas orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan di lokasi mendapati ramai pengguna terpaksa menunggu hingga empat jam untuk menaiki feri yang disediakan sebagai alternatif sementara menunggu jambatan baharu siap tahun depan.

Kesesakan itu menyebabkan barisan kenderaan sepanjang lebih lima kilometer dilihat semakin meruncing walaupun pihak berkuasa menyediakan tiga feri tambahan bagi menampung jumlah kenderaan yang banyak.

Seorang pengguna, Ahmad Zain, 45, yang sedang dalam perjalanan ke Daro meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan yang dialami.

“Saya sudah menunggu hampir empat jam. Walaupun tahu ini musim sibuk, tetapi saya tak sangka kesesakannya teruk sampai macam ini,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.

Bagi Salmah Gobel, 38, seorang suri rumah yang turut berhadapan dengan kesesakan, beliau berharap tindakan lebih pantas diambil untuk menangani situasi berkenaan.

“Anak-anak sudah mula gelisah dalam kereta, kami tak sangka perlu menunggu selama ini. Harap ada penyelesaian segera, mungkin menambah lagi feri atau mempercepatkan pembinaan jambatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dengan lebih awal dan mengambil kira kemungkinan kesesakan yang boleh berlaku terutamanya pada musim perayaan yang melibatkan pergerakan orang ramai ke kampung halaman.

Jambatan Batang Paloh yang kini dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan, yang diharap dapat menyelesaikan masalah kesesakan berulang di kawasan ini.

Dalam pada itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah baru-baru ini menggesa kontraktor yang membina Jambatan Batang Paloh perlu bekerja dengan lebih serius supaya projek ini dapat disiapkan Mac tahun depan.

Katanya, kontraktor perlu membawa lebih banyak jentera dan peralatan yang diperlukan serta meningkatkan waktu kerja mereka.

“Ini kerana Jambatan Batang Paloh merupakan salah satu projek jambatan yang bermasalah dan hampir dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.

“Apabila projek besar seperti ini tertunda, rakyat akan meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap wakil rakyat dan kerajaan,” jelasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan