LIMBANG, 29 Mac – Hairi yang lebih dikenali sebagai ‘Doktor Kusyen Limbang kini tidak menang tangan dalam memenuhi permintaan pelanggannya menjelang sambutan Aidilfitri.
Dengan kepakaran dalam membaik pulih dan menggantikan kusyen perabot, perusahaan milik Hairizan Sidi, 45, menjadi pilihan utama penduduk setempat yang ingin memperbaharui sofa dan perabot mereka sebelum perayaan besar itu.
Beliau yang berkecimpung dalam bidang tersebut lebih 10 tahun berkata, jumlah tempahan meningkat hampir dua kali ganda setiap kali musim perayaan tiba terutama menjelang Aidilfitri.
“Setiap kali Aidilfitri, pelanggan akan menghantar sofa lama mereka untuk dibaik pulih supaya perabot kelihatan baharu ketika menerima kunjungan keluarga dan tetamu.
“Saya terpaksa bekerja lebih masa dan menambah kakitangan sementara untuk membantu menyiapkan kerja,” katanya ketika ditemui dibengkelnya di sini, hari ini.
Menurutnya, tempahan yang diterima bukan sahaja daripada penduduk Limbang, malah ada yang datang dari kawasan berdekatan seperti Lawas dan Brunei Darusallam.
Permintaan yang tinggi itu membuktikan kepercayaan pelanggan terhadap hasil kerja Hairi yang terkenal dengan ketelitian dan kualiti tinggi.
Namun begitu, Hairi turut mengingatkan pelanggan untuk membuat tempahan awal pada masa akan datang bagi mengelak kesesakan dan memastikan semua tempahan dapat disiapkan tepat pada waktunya.
“Walaupun saya dan pasukan bekerja siang dan malam, ada juga tempahan yang terpaksa ditolak kerana kekangan masa,” ujarnya.
Menjelang Aidilfitri, perkhidmatan seperti yang ditawarkan Hairi menjadi semakin penting kepada mereka yang ingin memastikan rumah dalam keadaan lebih berseri untuk menyambut kehadiran tetamu.-TVS