SIBU, 29 Mac: Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selepas tiga serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan di sini.
Operasi itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM68,146.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 27 Mac antara jam 10.15 malam hingga 11.00 malam.
“Tiga lokasi serbuan ialah di Jalan Tong Sang, Jalan Merdeka dan Jalan Langsat.
“Hasil serbuan, pihak polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis telah merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk campuran Ecstasy dan pil Ecstasy seberat empat kilogram bernilai RM45,006, Ketamin seberat 49.9 gram bernilai RM9,980, serta 658 biji pil Erimin 5 dengan berat kasar 187.3 gram bernilai RM13,160.
“Selain rampasan dadah, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah motosikal Yamaha Y100 yang dianggarkan bernilai RM7,000,” ujarnya.
Menurut Zulkipli, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan semakan rekod mendapati dia tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau.
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.-TVS