KUCHING, 29 Mac: Seramai 45 individu dan keluarga asnaf ceria selepas menerima bantuan bakul makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Yap berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka terutama dalam membuat persiapan terakhir.
“Kita tidak memberi bantuan makanan seperti kelazimannya dan jadi jika anda perhatikan bakul makanan pada hari ini, kita berikan makanan basah seperti ayam segar, kentang dan sayur-sayuran seperti lobak merak, kubis serta perencah kari, ini lebih kepada penyediaan satu juadah makan malam yang diharap dapat membantu mereka yang tidak begitu berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program penyerahan Bantuan Bakul Makanan kepada asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, program anjuran Pusat Khidmat DUN Kota Sentosa bersama Farley Group selaku rakan strategik itu diharap dapat memberi manfaat kepada warga Kota Sentosa dan seterusnya membina masyarakat harmoni selain bersatu padu tanpa mengira latar belakang agama, kaum serta kepercayaan.
Hadir sama Pengurus Pasaraya Farley Kuching, Wilson Moh.-TVS