SARIKEI, 28 Mac : Fiesta Transformasi Sekolah (TS25) peringkat negeri Sarawak menyediakan platform bagi pelajar, guru, dan komuniti sekolah untuk meneroka kreativiti, kolaborasi, komunikasi dan pemikiran kritis.
Program direka khusus untuk meningkatkan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar serta mengeratkan kerjasama antara warga sekolah dan masyarakat.
Majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Pakan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikon pada Jumat.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan inisiatif TS25 memberi impak positif jangka panjang kepada perkembangan murid serta meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.
“Fiesta ini bukan sahaja memberi ruang kepada murid untuk menonjolkan bakat dan kreativit, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara sekolah dan masyarakat.
” Ia sejajar dengan matlamat pendidikan transformasi abad ke-21 yang menitikberatkan kemahiran komunikasi, kolaborasi, dan pemikiran kritis,” katanya hari ini.
Beliau berkata, program merupakan satu usaha kolaboratif untuk menguar-uarkan masyarakat berkaitan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM )dalam meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti tinggi agar selaras dengan keperluan semasa pendidikan negara.
Selain itu katanya, TS25 juga mengaplikasikan amalan terbaik dalam pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).
“Saya dimaklumkan, dalam fiesta TS25 tahun ini, sebanyak 48 buah sekolah menyertai pertandingan Project Based Learning (PBL), 11 buah sekolah adalah dari daerah-daerah jemputan iaitu Daerah Daro, Kanowit, Meradong, Saratok, Sarikei dan Sibu,
“Dengan kehadiran yang memberangsangkan, fiesta ini mampu menjadi platform yang ideal untuk memperkasakan generasi muda Sarawak dalam bidang akademik dan kemahiran insaniah, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya. -TVS