KOTA SAMARAHAN, 28 Mac: Program advokasi jalan raya bertemakan Advokasi Op Selamat Hari Raya 2025 diadakan di Persimpangan Depo Rembus, Jalan Samarahan-Asajaya hari ini.
Ia sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri.
Program tersebut diadakan dengan kerjasama ICJV Sdn Bhd, Sarawak Metro Sdn Bhd, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Samarahan di bawah inisiatif Ops Selamat yang dijalankan setiap tahun bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik menjelang perayaan utama.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Dato Ahmad Ibrahim.
Ahmad berkata, rentas agensi awam dan swasta penting dalam memastikan keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab semua.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita semua. Saya amat menghargai usaha Sarawak Metro, ICJV dan PDRM dalam menjayakan program ini.
“Sebagai Presiden Persatuan Permotoran Sarawak, saya juga berharap lebih banyak kempen seperti ini dapat diperluas ke kawasan luar bandar dan sekolah bagi mendidik masyarakat sejak usia muda mengenai kepentingan keselamatan dan disiplin di jalan raya,” katanya.
Beliau turut berharap budaya menggunakan topi keledar dan peralatan keselamatan menjadi norma harian dan perlu dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat.
Beliau turut menyeru agar budaya penggunaan topi keledar dan peralatan keselamatan tidak hanya diamalkan ketika operasi dijalankan, tetapi menjadi norma harian yang dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.-TVS