KUALA LUMPUR, 28 Mac: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil sikap tidak berkompromi kepada mana-mana pemilik kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan dan tiada perlindungan insurans sepanjang Aidilfitri ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan dari 24 Mac hingga 8 April, pihaknya bertegas akan menyita mana-mana kenderaan yang didapati tidak mempunyai insurans dan cukai jalan yang sah.
“Pada kali ini sekiranya kenderaan itu tidak mempunyai insurans dan cukai jalan, kita (JPJ) akan sita terus dan tidak membenarkan kenderaan itu dipandu di atas jalan raya.
“Kami akan mengutamakan pengguna jalan raya lain yang mematuhi peraturan jalan raya.
“Misalnya, seperti hari ini sahaja beberapa kenderaan terutamanya motosikal telah kita sita, jadi saya beri peringatan untuk perbaharui insurans dan cukai jalan, sekiranya gagal maka akan berdepan dengan tindakan sitaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan operasi Ops Aidilfitri di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ops itu, beliau berkata sebanyak 22,552 notis saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam tempoh lima hari.
Daripada jumlah itu, kata beliau, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 5,850 saman.
“Selain itu, melalui pemeriksaan ke atas kenderaan perkhidmatan awam bas, pihak JPJ telah mengesan sebanyak 1,800 bas melakukan pelbagai kesalahan yang melibatkan kenderaan dan pemandu.
“Antaranya menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tiada pemandu kedua dan lain-lain kesalahan,” katanya.
Secara keseluruhan, kata beliau, sebanyak 77,736 kenderaan telah diperiksa dengan 97 kenderaan telah disita.
Dalam pada itu, Aedy berkata, pemilik dan pemandu kenderaan barangan diingatkan berhubung larangan pemanduan kenderaan berkenaan selama empat hari bermula 29 dan 30 Mac 2025 (sebelum perayaan) serta pada 5 dan 6 April 2025 (selepas perayaan). – TVS