LIMBANG, 28 Mac: Projek pembesaran landasan Lapangan Terbang Limbang yang kini dalam peringkat penilaian tender disifatkan bertepatan dengan keputusan pengambilalihan MASWings oleh Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak itu akan membolehkan pesawat lebih besar jenis jet mendarat selain memperbanyakkan destinasi penerbangan secara terus.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata ketika ini, landasan itu hanya boleh memuatkan pesawat ATR, twin otter serta fokker 50 akan dipanjangkan 500 meter lagi bagi membolehkan pesawat lebih besar dapat mendarat.
“Berita baik juga untuk penduduk di Limbang, bahawa projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Limbang telahpun bermula sudah ditender dan apabila siap nanti, kapal terbang besar dalam bentuk jet dapat mendarat di Limbang.
“Apabila pemanjangan landasan itu siap kapal terbang besar akan dapat mendarat lebih dan banyak destinasi kita akan pergi dan kita berharap penerbangan secara terus akan diwujudkan daripada Limbang sekurang-kurangnya ke kuala lumpur,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program SABERKAS Prihatin 2025 Siri Dua di Lot 777 hari ini.
Turut sama Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.
Kata Dr Abdul Rahman lagi penduduk di utara Sarawak khususnya di Limbang dan Lawas turut mendapat manfaat dengan syarikat penerbangan milik Sarawak iaitu AirBorneo yang memfokus kepada harga tiket mampu milik dan berpatutan untuk rakyat.
Katanya ia sejajar dengan komitmen Sarawak untuk menyediakan rakyat harga tiket murah supaya lebih ramai boleh menikmati penerbangan tanpa beban kewangan. -TVS