KUCHING, 28 Mac: Tenpin boling, renang dan terjun antara sukan yang hampir pasti akan diadakan di Sarawak dalam temasya Sukan SEA 2027.
Perkara itu disahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyatakan wilayah ini akan menjadi tuan rumah kepada 18 acara sukan.
Menurut Abdul Karim, pemilihan acara sukan yang akan diadakan di Sarawak dibuat berdasarkan kesediaan kemudahan sukan yang memenuhi piawaian.
“Antara aspek yang sedang kami teliti ialah kemudahan sukan yang tersedia. Jika kemudahan sedia ada tidak memenuhi standard yang ditetapkan, kami tidak akan menganjurkan acara tersebut.
“Salah satu sukan yang boleh kita sahkan akan berlangsung di Sarawak ialah tenpin boling, kerana kita mempunyai pusat boling bertaraf tinggi di Megalanes.
“Selain itu, sukan renang dan terjun juga dijangka dianjurkan di sini memandangkan Sarawak memiliki fasiliti akuatik yang lengkap,” katanya ketika diminta mengulas berapa buah acara secara rasminya bakal dipertandingkan di Sarawak di pejabatnya hari ini.
Selain tiga sukan utama itu, Sarawak juga berpotensi menjadi venue bagi acara kriket, taekwondo, memanah serta menembak namun Abdul Karim menjelaskan terdapat keperluan untuk menaik taraf kemudahan menembak, khususnya bagi acara skeet dan trap.
Abdul Karim turut menyatakan perbincangan masih berjalan dengan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta badan sukan kebangsaan bagi menentukan pembahagian sukan yang lebih terperinci.
“Sehingga kini, kami secara tertutup telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan , Hannah Yeoh, serta pegawai-pegawai di bawah Kementerian Belia dan Sukan bagi mengenal pasti sukan yang akan diadakan di Sarawak, khususnya di Kuching dan Samarahan.
“Secara keseluruhannya, kami telah menyenaraikan 18 acara sukan yang akan diadakan di sini dan 18 acara sukan lagi di Semenanjung Malaysia.
“Namun, satu perkara yang kami tetapkan ialah majlis pembukaan temasya ini mesti diadakan di Kuching. Perkara ini juga telah dipersetujui kerana ia amat penting,” kata Abdul Karim. – TVS